surat yang dihantar ke Berita Harian. sayang kau, faidhi! (pelajar terbilang konon)
Tenaga pengajar, staf MRSM Taiping model guru terbaik.
SAYA mewakili pelajar Maktab Rendah Sains Mara Taiping sesi 06/07 ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh guru serta staf MRSM berkenaan kerana dedikasi dan usaha yang ditunjukkan untuk menjadikan kami cemerlang dalam SPM.
Sepanjang dua tahun kami belajar di MRSM Taiping, pelbagai bidang ilmu dicurahkan kepada kami dalam usaha membentuk modal insan gemilang. Untuk pengetahuan semua, ramai guru yang sanggup membuat kelas malam hampir setiap minggu untuk mengajar kami walaupun tiada imbuhan tambahan diberikan pihak MRSM.
Ada guru yang sering menangis kerana terlalu memikirkan kecemerlangan dan sahsiah pelajarnya. Ketua warden dan warden lain begitu komited sehingga sanggup melakukan apa saja yang termampu untuk memastikan disiplin kami berada dalam keadaan cemerlang.
Hasilnya, tiada kes disiplin berat yang direkodkan sejak kebelakangan ini. Sistem 'homeroom' atau keluarga pelajar yang dilaksanakan amat berkesan kerana menjadikan hubungan antara murid dan guru begitu rapat sehingga menjadi keluarga kedua bagi kami sekalian.
Kebanyakan guru kami berusaha keras untuk memastikan MRSM Taiping bukan saja cemerlang dari segi akademik, malah dalam bidang kokurikulum. Ada guru sanggup berjaga hingga pagi membantu anak muridnya melaksanakan tugasan dengan sempurna.
Kini, hasilnya boleh dilihat apabila MRSM Taiping berjaya meraih tempat teratas dalam bidang bahasa, robotik, koperasi, silat, sukan, sains hinggalah kepada usahawan pada peringkat kebangsaan. Tidak keterlaluan saya katakan bahawa inilah model guru yang diperlukan di Malaysia.
Di sini kami ingin mengambil kesempatan memohon ribuan ampun dan maaf di atas segala kesalahan kami sepanjang kami berada di MRSM Taiping. Sesungguhnya kami berasa terharu di atas segala pengorbanan yang dilakukan semua guru MRSM Taiping.
Saya juga khusus mewakili pelajar kelas 501 mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua guru yang mencurah bakti menyemai budi kepada kami. Akhir kata, terima kasih, cikgu. Hanya Allah SWT dapat membalas jasa guru yang banyak mendidik dan berbakti kepada kami.
PELAJAR TERBILANG, Seremban, Negeri Sembilan.
No comments:
Post a Comment