Friday, July 25, 2008

tut-tut

dalam dunia kita yang fana ni, antara orang yang aku paling hormat, adalah pakcik-pakcik teksi.
memandangkan aku masih bawah umur, dan tidak berupaya untuk mengambil lesen kereta, maka teksi seringkali menjadi pengangkutan utama aku (selain dari abang aku dan lrt, of course). aku tak pasti jika kau senasib dengan aku, tapi itu tidak signifikan.

bagi yang tak pernah-lah nak menaiki teksi, disebabkan geli atau memikirkan teksi itu kotor (terutamanya budak subang), then kau memang telah rugi dalam hidup dari segi pengalaman. you see, kebanyakan pakcik teksi (PT) sudahpun berumur dalam lingkungan 50 ke atas. kalau adapun yang muda sikit, itu mesti termasuk dalam golongan graduan yang menganggur. apa-apa hal pun, disebabkan umur mereka yang boleh dikatakan sudah melangkaui setengah abad, maka sudah tentunya otak/hati/perut mereka sudah dipenuhi dengan pelbagai ilmu hidup.

mereka antara insan bertuah, sebab hampir setiap hari mereka dapat berjumpa dengan orang baru, dan melihat kerenah orang-orang ni. itulah yang menjadi pekerjaan mereka selama 20 tahun mereka berkerja. dan berdasarkan pengalaman aku, PT tak akan segan-silu untuk menceritakan pengalaman-pengalaman beliau. dari cerita perempuan seksi skirt pendek menahan teksi di tepi PKNS sehinggalah cerita perempuan seksi baju putih tiada kaki menahan di tepi Jalan Bukit Nanas, Klang.

kalau dulu aku duduk dekat Taiping, kebanyakannya merupakan pesara-pesara ATM. bukan mesin nak keluar duit tu, tapi Angkatan Tentera Malaysia ya. dan disebabkan hampir setiap minggu aku outing (kad outing x3), maka aku pun selalu sangat-lah dengar kisah-kisah hidup mereka. bagaimana sejak penjajahan Jepun dulu, sudah ada korupsi dalam kepimpinan masyarakat Melayu. PT tu pulak mengaku dia komunis, lagi membakar ah semangat aku nak dengar. dan dia dengan lantangnya cakap bahawa sejarah Melayu sebenarnya banyak dah terpesong. tokoh-tokoh yang sepatutnya dijadikan tugu, dicampak sebegitu sahaja. tak lupa jugak, kisah-kisah banduan dalam penjara Taiping, penjara tertua di Malaysia tu. tetapi itu nantilah.

ok, perkara yang membuatkan aku tiba-tiba sahaja nak menukil entri berkisar tentang PT adalah kisah aku dan sek2 aku terkandas di tepi stesen bas Jusco Bukit Raja setelah selesai menonton wayang pada waktu malam. lebih spesifik, 11.00 p.m. setelah berlaku beberapa konflik dengan operator-operator teksi, akhirnya kami berjaya mendapat 3 buah teksi untuk mengambil kami dengan harga yang agak murah. aku naik teksi tu dengan Ijo, Pejam, ngan Nuar (semua bukan nama sebenar). jadi pada awalnya, Ijo memang nak kongsi dengan kami tentang tafsir surah al-Falaq. yang kemudiannya kami masuk pulak tentang tafsir surah an-Nas. sedang kami khusyuk berdiskusi, apabila tibanya bahagian tentang bagaimana dalam dunia ni manusia pun boleh jadi syaitan, tiba-tiba jer PT ni menyampuk. ok PT ni berkulit gelap, dan sekali kau tengok memang macam orang India (memang India pun). dan dia pulak sambung untuk kami, "memang dalam dunia sebaik-baik manusia pun boleh jadi syaitan. semuanya pasal nafsu. nafsu nafsu dan nafsu. manusia ni, cepat sangat tunduk kepada nafsu mereka. iman mereka tak kuat. mereka fikir, kalau hidup kaya, banyak awek, boleh kita berjaya dalam hidup? akhirat tak tentu lagi. buat jahat dekat dunia, ingat Tuhan tak balas waktu akhirat?"

aku terkedu. aku mula fikir, dia ni Islam ke? aku jenguk-jenguklah kat dashboard dia tu kan, sekali ada patung Tuhan Hindu ke apa. dan aku betul. dia bukan Islam. tapi kenapa dia tau banyak sangat pasal Islam? (dialog tadi merupakan rumusan sahaja, banyak lagi hujah yang dia keluarkan yang seakan Islam) itulah aku cakap, PT ni banyak pengalaman. tak kisah-lah Melayu ke, Cina ke, India ke, mereka semua berkongsi pengalaman hidup yang sangat menarik. nak tau tak? PT yang berhujah tadi tu, rupa-rupanya dah tinggal terengganu selama 15 tahun! terkejut kami. apa lagi, Pejam yang sememangnya berasal dari Ganu tu pun mengeluarkan loghat-loghat dia. Ijo, Nuar dan aku tak terkecuali.

pendek kata, lepas ni kalau kau naik teksi, sembang-sembanglah dengan pakcik tu. apa salahnya, bertegur sapa. janganlah sombong sangat. dah kata kita orang Malaysia, yang cukup bangga dengan sikap yang beramah mesra etc.

p/s: walaupun ada jugak kes, pakcik-pakcik teksi "ketuk" penumpang mereka, ataupun membuat ganggan seksual, tapi itu kisah lain. kita tidak boleh generalize mereka begitu. stigma masyarakat tentang perkara ni perlu berubah.

No comments: