semenjak-menjak aku menggantung banner bantah PPSMI di kepala blog tu, ramai pulak yang menanyakan kenapa. ada yang tidak berapa setuju dengan aku, ada jugak yang enggan memberi komen terhadap situasi sekarang.
sampaikan waktu anatomy, membahaskan tentang isu ini.
isu PPSMI ni sebenarnya isu bahasa dan bangsa kita. mungkin boleh juga menyelitkan sedikit isu pendidikan. persoalan pertamanya, kenapa kita perlu ubah Akta Pendidikan dengan PPSMI walaupun sudah jelas kejayaan yang dikecapi oleh pelajar-pelajar dengan menggunakan bahasa Melayu? dimana lubuknya aku pun tak dapat kenalpasti.
kita lihat negara seperti Korea Utara, Jepun, Perancis dan Jerman. contoh tipikal, tapi harus dibangkitkan. negara-negara ini tidak pernah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran subjek-subjek Sains mereka. tapi mereka mampu berjaya. sehinggakan pemenang Nobel bagi Fizik adalah 3 orang saintis Jepun. dan sudah tentu tesis mereka dalam Bahasa Jepun.
tak puas hati aku pakai negara dunia pertama? ok tengok negara Indonesia, Skandinavia dan Eropah Timur. maju apa daripada Malaysia. guna jugak bahasa ibunda masing-masing. tidak mengalami permasalahan pun dalam pembangunan intelektual masyarakat masing-masing. wikipedia Bahasa Indonesia pun mencatatkan jumlah artikel sebanyak 100,000 lebih. wikipedia Bahasa Melayu? hanya 30,000 lebih.
kenapa negara Malaysia pulak yang rasa bahasa ibunda itu tidak cukup untuk kemajuan? adakah selama 37 tahun Akta itu dilaksanakan tidak mencukupi? tolong beri aku bukti empirikal baru aku tutup mulut.
yang sebenarnya PPSMI ni telah dilaksanakan secara tergopoh-gapah. tiba-tiba sahaja kerajaan membuat pengumuman pada 2003 untuk menjalankan sistem ini. pelajar-pelajar, tidak ditanya. guru-guru, lagilah. kuasa rakyat diperlekehkan begitu sahaja.
tengok sekarang ni, semua kesatuan guru dalam Malaysia membantah PPSMI. perhimpunan raksasa 7 Mac pun menunjukkan bahawa majoriti rakyat tidak berpuas hati dengan perlaksanaan PPSMI ini. sampaikan SN A Samad Said yang terkenal dengan dasar tak berkecuali turun ke padang untuk memperjuangkan hak bahasa kita. sampai kena gas pemedih mata dek polis pengganas. begitu hebat pengagungan bahasa pembunuh sehingga 100,000 rakyat "cedera".
kalau begitu, penat lelah sahaja tokoh pemimpin kita pada masa dahulu memperjuangkan soal bicara Bahasa Melayu. Munsyi Abdullah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu boleh dimajukan dan telah memajukan bangsa pada ketika itu melalui persuratan. kalau kita nak ubah apa yang telah sejarah tunjukkan, baik tak payah belajar sejarah waktu sekolah menengah.
yang kaburnya juga adalah modus operandi PPSMI ini. adakah misinya hendak meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris, ataupun bidang teknologi secara amnya? yerlah, kononnya pada peringkat universiti nanti, pelajar-pelajar yang telah belajar bidang itu dalam bahasa Melayu akan tergapai-gapai memahami teks-teks dalam buku bahasa Inggeris itu.
ini sekaligus membawa kepada penguasaan bahasa Inggeris kita. benda ni sejajar dengan satu sama lain. sebab tu diwujudkan subjek English for Science and Technology. ramai pulak golongan pro-PPSMI ni yang enggan membawa subjek EST tu ke medan perbahasan. sudah jelas ada subjek itu, supaya pelajar-pelajar fasih dengan istilah Sains dalam bahasa Inggeris yang kononnya begitu kompleks sehingga pelajar membunuh diri.
tetapi nak jugak laksanakan PPSMI.
yang patut diteliti semula adalah subjek Bahasa Inggeris itu sendiri. kalau sejak darjah 1, guru-guru bahasa Inggeris sudah mula mengajar dengan betulnya, mengikut silibus dengan kesemua kes tatabahasa dan bukannya mengamalkan konsep "english for fun learning", mestilah pelajar-pelajar mampu berbahasa Inggeris dengan mantap.
aku ambik contoh program Rusia. belajar bahasa asing di INTEC hanya 7 bulan. tetapi cikgunya mengajar dengan betul. satu per satu diterangkan. 6 kes tatabahasa yang patut dipelajari, semuanya telah dikuasai. bukannya kami belajar 24 jam jer, sempat lagi menyanyi dan berlakon sehingga boleh buat konsert di kedutaan Rusia. sampai ke Rusia, semuaorang kagum dengan kelancaran kami berbahasa. "fun learning" jugak.
kemudian ambik contoh kami belajar bahasa Latin di Rusia untuk mengenal pasti terminologi perubatan. boleh saja kami hidup dengan menggunakan bahasa Latin untuk anatomi dan sebagainya. tak perlu pun bahasa Inggeris.
yang ni, sejak darjah 1, ajar pun gitu-gitu jer. pelajar pun main-main-lah apa lagi tengok gurunya pun separuh hati saja mahu mengajar. takkanlah semua ibu bapa kena hantar anaknya tusyen ke British Council untuk menguasai Bahasa Inggeris?
selain itu, kita kena mengambil kira penduduk-penduduk luar bandar jugak. bukannya semua tinggal di Subang Jaya dan mampu memahami Bahasa Inggeris dengan begitu sahaja. member-member aku di MRSM dulu ada segolongan yang terkontang-kanting memahami pengajaran Biologi, Kimia dan Fizik dalam bahasa Inggeris. last-last, guru kena terangkan dalam bahasa Melayu jugak. jadi dimana PPSMI-nya? aku gagal untuk melihat.
tengok-tengok, bila keputusan SPM keluar, semua merudum. ini nasib bangsa kita yang menjadi pertaruhan. bukannya keputusan EPL nak diteka-teka sebegitu.
Sayyid Ali Khamenei berkata, "Menguasai tak mengapa, menyerah jangan."
bukannya aku anti-bahasa Inggeris, malah aku yakin aku lebih fasih berbahasa Inggeris daripada kau semua. tidak salah untuk kita menguasai bahasa itu, tetapi janganlah kita menyerahkan keunggulan bahasa kita begitu sahaja. itu ibarat menyerah kepada dasar kolonisme penjajah. lepas tu nak bangga kita dah merdeka dari segi fizikal dan mental? piirah. terjun masuk longkang-lah.
dan ini juga bukan soal politik yer. bukannya anekdot pembangkang terhadap kerajaan. tapi itulah, semuaorang dok kalut memperjuangkan kedaulatan raja Melayu, tapi majoritinya menyokong dasar PPSMI juga. begitu ironik polemik golongan pro-PPSMI ini.
mungkin apa yang patut dipersoalkan, adalah sama ada PPSMI ini "feasible" ataupun tidak. mungkin dasarnya yang patut diubah. seperti hanya melaksanakannya pada peringkat menengah, dan bukannya rendah. ataupun terus dimansuhkan dan tidak patut menjadi perkara berbangkit sehingga Malaysia mampu membina teknologi sendiri tanpa bergantung kepada negara lain.
namun, kerajaan tidak seharusnya menangguhkan nasib PPSMI kerana itu semestinya bakal menjadi waran kejatuhan kerajaan. keputusan harus dibuat dengan mengambil pandangan saksama semuaorang. bukannya orang atasan kerajaan sahaja. yang belajarnya, budak-budak jugak. bukan kau yang dah tua bangka.
Sunday, March 15, 2009
ulasan PPSMI
dikarang oleh
pergi berjuang di
pada
12:06 AM
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment