Friday, March 28, 2008

cerpen #1: bangsi Jumaat

Cuaca mendung. Aku kira, psikik terkemuka dunia pun tidak mampu mengagak bilakah awan-awan Shah Alam bakal memuntahkan hujan asidnya.

Jaga dari tidur terhegeh-hegeh. Ingatkan sudah masuk waktu solat Maghrib, rupa-rupanya baru pukul 1.15. Terlupa. Hari ini hari Jumaat. Yaumul Mazid.

Aku masuk ke dapur. Roti Gardenia dibakar menggunakan toaster Panasonic aku. Suis diputar sehingga 3 minit. Aku terus ke bilik air. Basuh muka dengan Biore for Men. Kemudian, aku capai ubat gigi aku. Habis. Cuba memicit menggunakan tenaga jantan aku. Masih gagal. Aku putus asa. Botol Listerine 250ml teman serumah dicapai.

PAP. Tanda roti aku sudah habis dibakar.

Aku kumur-kumur dengan cepat. Harap bau mulut hilang. Luah. Air sinki dibiarkan mengalir. Berlari keanak-anakan ke dapur. Mentega kacang Lady's Choice disapu ke atas roti yang masih panas. Mentega cair, aroma kacang pun menusuk hidung aku. Roti dilipat dua. Aku makan dalam 2 gigitan.

Azan Zohor berkumandang. Aku hairan, teman serumah aku hilang. Mungkin sudah menyertai geng surau yang sentiasa awal ke Masjid. Aku terus ke bilik air sekali lagi untuk mengambil Wudhu'. Basuh muka tiga kali, basuh tangan tiga kali. Rutin diulang. Aku terkentut. Basuh muka tiga kali, basuh tangan tiga kali, sapukan air di gigi rambut tiga kali dan basuh kaki tiga kali. Alhamdulillah.

Aku menyarung kain pelikat aku keluaran Gajah Duduk dan baju Melayu hitam keluaran Omar Ali.

Fast forward.

Selesai solat sunat tahiyatul masjid, aku duduk di saf ke-lapan. Pada awalnya, berlaku konflik dalam diri aku. Sama ada mahu ke Masjid Al-Hidayah, yang lebih jauh, atau Masjid 2 yang ternyata lebih dekat, dan khutbahnya yang pendek. Akhirnya, suara hati aku memberitahu aku untuk ke Masjid 2. Dengan kekangan masa, iaitu 5 minit sesudah azan Zohor dilaungkan, aku patut berasa bangga dengan keputusan aku.

Empat orang budak kecil duduk di sebelah aku. Sudah semestinya lelaki. Aku berada dalam kalangan jemaah Solat Jumaat. Belum baligh lagi aku kira. Muka putih bersih. Suci daripada dosa. Senyuman yang ditampal menggambarkan kehidupan yang tiada masalah. Aku dengki. Ya, aku dengki dengan budak itu.

Hujan renyai-renyai. Jemaah diluar masjid terpaksa mencari perlindungan. Ada yang tidak mahu berganjak. Basah kuyup kerana Allah. Aku tabik. Sekumpulan mumaiyiz yang ditugaskan oleh AJK Masjid untuk mengutip derma mula berpecah. Nampaknya, tema pada hari itu adalah warna merah. Kesemuanya memakai baju melayu berwarna merah. Lengkap. Berbutang sehingga ke leher. Bersongkok hitam. Segak mengalahkan belia yang berambut punk, berseluar jeans ketat dan berbaju kemeja saiz XXS. Yang turut menghadiri jemaah itu. Mereka mula berpecah, seorang ke Utara, seorang ke Barat, seorang ke Timur, dan seorang lagi ke Selatan. Macam boria pula.

Salah seorang datang ke arah aku. Aku cam dia. Anak guru KH sekolah aku. Hafiz namanya. Gigi tersusun rapi. Rambut disikat kemas. Minyak Attar "Paradise" mula memenuhi ruangan udara saf aku. Aku yakin, itu Hafiz. Budak kecil sebelah aku menghulurkan duit kertas berwarna biru ke tangan Hafiz. Diikuti dengan adiknya, dan adiknya yang lebih kecil. Masing-masing mengeluarkan duit kertasnya tersendiri. Aku sendiri mengeluarkan sejumlah wang aku. Diselitkan ke dalam lubang kotak derma itu.

Hafiz pun beredar. Budak kecil sebelah aku mula menangis teresak-esak. Aku buat tak kisah. Fokus aku cuba ditumpukan kepada khutbah. Kemudian mula bertukar menjadi teriakan. Jemaah mula memandang ke arah aku. Aku rasa bersalah. Kemungkinan besar mereka fikir itu adik aku, dan aku gagal sebagai seorang abang. Tidak. Aku tak akan benarkan perkara itu berlaku.

Abang sebenar dia mula memujuk. Menjaga hati adiknya. Rupa-rupanya, adik dia telah mendermakan wang poketnya yang terakhir. Dia tiada duit lagi untuk membeli Nasi Lemak Kak Pah di sekolah petang nanti, kononnya. Aku sedar, perbuatan menderma tadi telah dilakukan atas dasar untuk mengikut abang dia. Justeru, abang dia dipersalahkan. Dia mula menjentik abang dia. Mencucuk-cucuk abang dia. Aku lihat, abang dia pasrah.

Doa selepas khutbah habis dibaca. Solat Jumaat bermula. Rakaat pertama, imam membaca Surah Al-Fatihah, diikuti dengan petikan surah Luqman. Rukuk, toma'ninah, sujud, duduk antara dua sujud, sujud semula, dan bangun. Rakaat kedua, imam membaca Surah Al-Fatihah, diikuti dengan petikan surah Al-Maidah. Rukuk, toma'ninah, sujud, duduk antara dua sujud, sujud lama sedikit, dan tahiyyat akhir. Salam.

Doa selepas solat habis dibaca. Bersalaman dengan orang di saf sama, hadapan, dan belakang. Dicium kalau berkesempatan. Tiba giliran budak kecil itu bersalaman dengan aku. Tersipu-sipu dia. Mungkin malu, kerana telah menangis di hadapan orang ramai. Aku memaksa tangan dia untuk bersalaman dengan tangan aku. Sedang itu, aku selitkan kepingan duit berwarna hijau ke tangannya. Aku senyum. Namun, senyumannya jauh lebih lebar. Aku yakin, dia terpinga-pinga. Aku terus beredar.

Cuaca mendung. Matahari bagai kedekut untuk berkongsi sinarannya. Walaupun awan sudah habis memuntahkan kandungannya. Jam Casio aku menunjukkan pukul 2.15.

Aku baru sahaja memberikan kepingan duit aku yang terakhir kepada orang yang aku tak kenali. Harapan untuk aku singgah ke Baker's Cottage untuk membeli roti Sardine kegemaran aku, hancur berkecai.

Dari jauh pula, kelihatan kelibat budak kecil itu gembira semula. Kemungkinan besar, sudah mempunyai duit lebih untuk membeli komik Doraemon siri ke-43. Dan mungkin sempat membeli Nasi Lemak Kak Pah di sekolah petang.

Tetapi aku yakin, ganjaran pahala yang aku dapat pada hari ini adalah berlipat kali ganda.

Aku tak lupa. Hari ini hari Jumaat. Yaumul Mazid. Penghulu segala hari.

No comments: